Musa mahu
SBP teruskan tradisi kecemerlangan
SEBAGAI institusi
akademik yang dianggap sebagai pusat kecemerlangan, pengetua dan
pendidik di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) diminta meneruskan usaha
memajukan bidang kurikulum dan kokurikulum bagi memastikannya kekal
sebagai penjana kecemerlangan pendidikan negara.
Menteri Pendidikan,
Tan Sri Musa Mohamad, berkata bagi memastikan kecemerlangan dikecapi
sekarang dapat diteruskan, mereka hendaklah bekerja keras memajukan
kedua-dua bidang itu dengan memperkenalkan pelbagai pendekatan proaktif
dan bijak sejajar perkembangan global semasa.
Bagaimanapun,
beliau meminta agar pendekatan dan penekanan yang dijalankan tidak
bercanggah dengan Dasar Pendidikan Negara dan Falsafah Pendidikan
Negara.
Katanya lagi,
keseragaman itu amat penting bagi membantu menjayakan misi utama
Kementerian Pendidikan iaitu merealisasikan matlamat mempertingkatkan
potensi setiap individu menerusi bidang pendidikan, sekali gus memenuhi
aspirasi rakyat negara ini.
“Dalam
sistem pendidikan di negara ini, SBP dan beberapa sekolah ternama
lain akan terus memikul tugas dan tanggungjawab bagi melahirkan
generasi muda negara yang cemerlang pada masa akan datang.
“Oleh itu,
semua pihak yang terbabit dengan pengurusan dan pentadbiran sekolah
berkenaan perlu peka dan mengambil langkah proaktif, agar agenda
pendidikan negara dapat diterjemah dan terus diwarnai kecemerlangan
dalam semua bidang, sama ada kurikulum atau kokurikulum,” katanya
ketika berucap merasmikan Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri
ke-29 2002 di Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan
di Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Teks ucapan
beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Jabatan
Pendidikan Swasta, Datuk Hassan Hashim.
Dalam pertandingan
itu, Kolej Islam Sultan Alam Shah (Kisas), Klang yang mewakili Selangor
menjuarai kategori bahasa Melayu manakala Kolej Tunku Kurshiah (TKC),
Seremban (Negeri Sembilan) mengungguli kategori bahasa Inggeris.
Pembahas Kisas,
Nasim Muhammad Abdul Kuthoose, 17, diumumkan sebagai pembahas terbaik
kategori bahasa Melayu manakala Nur Farahbi Shaari, 16, (TKC) merangkul
anugerah untuk kategori bahasa Inggeris.
Kisas yang dibimbing
oleh Noridah Ramlan diwakili oleh Nasim Muhammad selaku ketua pasukan,
Mohd Khaliz Ariffin, Siti Sarah Mohd Shukor dan Husna Harun (simpanan).
TKC pula membariskan pembahas terdiri daripada Nur Farahbi, Nurul
Syaheedah Jes Izman (ketua pasukan) Nurul Izzah Idris dan Zahirah
Fairuz Zahari. Pasukan itu dibimbing oleh Tunku Ireneza Marina Tunku
Mazlan.
Dalam perbahasan
kategori bahasa Melayu yang berlangsung Sabtu lalu,
Kisas menewaskan
Sekolah Menengah Sains (SMS) Teluk Intan, Teluk Intan, Perak. Kedua-dua
pasukan membahas tajuk "Karnival jualan mega meningkatkan ilmu kepenggunaan
di kalangan masyarakat", iaitu Kisas bertindak sebagai 'kerajaan’
dan SMS Teluk Intan (pembangkang).
Sementara itu,
kategori bahasa Inggeris yang diadakan pada Jumaat, TKC yang mewakili
'kerajaan’ menewaskan SMS Muzzaffar Syah (pembangkang). Tajuk
dibahaskan ialah "Science has shown more potential to cure than
kill".
Juara kedua-dua
kategori membawa pulang sebuah piala pusingan, piala iringan dan
sijil penghargaan, naib juara pula menerima piala iringan dan sijil
penghargaan serta pembahas terbaik dianugerahkan seutas jam tangan.
Bahas Piala
Perdana Menteri yang diadakan sejak 1971 terbuka kepada semua SBP.
Bagi edisi ke-29, ia disertai 40 pasukan termasuk pasukan jemputan
iaitu Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi, Selangor.
Musa meminta
agar pelajar tidak gentar menghadapi dunia pendidikan yang penuh
dengan persaingan.
Ehsan : Berita
Harian
|