Make your own free website on Tripod.com
kembali

Musa mahu SBP teruskan tradisi kecemerlangan

SEBAGAI institusi akademik yang dianggap sebagai pusat kecemerlangan, pengetua dan pendidik di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) diminta meneruskan usaha memajukan bidang kurikulum dan kokurikulum bagi memastikannya kekal sebagai penjana kecemerlangan pendidikan negara.

Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad, berkata bagi memastikan kecemerlangan dikecapi sekarang dapat diteruskan, mereka hendaklah bekerja keras memajukan kedua-dua bidang itu dengan memperkenalkan pelbagai pendekatan proaktif dan bijak sejajar perkembangan global semasa.

Bagaimanapun, beliau meminta agar pendekatan dan penekanan yang dijalankan tidak bercanggah dengan Dasar Pendidikan Negara dan Falsafah Pendidikan Negara.

Katanya lagi, keseragaman itu amat penting bagi membantu menjayakan misi utama Kementerian Pendidikan iaitu merealisasikan matlamat mempertingkatkan potensi setiap individu menerusi bidang pendidikan, sekali gus memenuhi aspirasi rakyat negara ini.

“Dalam sistem pendidikan di negara ini, SBP dan beberapa sekolah ternama lain akan terus memikul tugas dan tanggungjawab bagi melahirkan generasi muda negara yang cemerlang pada masa akan datang.

“Oleh itu, semua pihak yang terbabit dengan pengurusan dan pentadbiran sekolah berkenaan perlu peka dan mengambil langkah proaktif, agar agenda pendidikan negara dapat diterjemah dan terus diwarnai kecemerlangan dalam semua bidang, sama ada kurikulum atau kokurikulum,” katanya ketika berucap merasmikan Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri ke-29 2002 di Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan di Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Swasta, Datuk Hassan Hashim.

Dalam pertandingan itu, Kolej Islam Sultan Alam Shah (Kisas), Klang yang mewakili Selangor menjuarai kategori bahasa Melayu manakala Kolej Tunku Kurshiah (TKC), Seremban (Negeri Sembilan) mengungguli kategori bahasa Inggeris.

Pembahas Kisas, Nasim Muhammad Abdul Kuthoose, 17, diumumkan sebagai pembahas terbaik kategori bahasa Melayu manakala Nur Farahbi Shaari, 16, (TKC) merangkul anugerah untuk kategori bahasa Inggeris.

Kisas yang dibimbing oleh Noridah Ramlan diwakili oleh Nasim Muhammad selaku ketua pasukan, Mohd Khaliz Ariffin, Siti Sarah Mohd Shukor dan Husna Harun (simpanan). TKC pula membariskan pembahas terdiri daripada Nur Farahbi, Nurul Syaheedah Jes Izman (ketua pasukan) Nurul Izzah Idris dan Zahirah Fairuz Zahari. Pasukan itu dibimbing oleh Tunku Ireneza Marina Tunku Mazlan.

Dalam perbahasan kategori bahasa Melayu yang berlangsung Sabtu lalu, Kisas menewaskan Sekolah Menengah Sains (SMS) Teluk Intan, Teluk Intan, Perak. Kedua-dua pasukan membahas tajuk "Karnival jualan mega meningkatkan ilmu kepenggunaan di kalangan masyarakat", iaitu Kisas bertindak sebagai 'kerajaan’ dan SMS Teluk Intan (pembangkang).

Sementara itu, kategori bahasa Inggeris yang diadakan pada Jumaat, TKC yang mewakili 'kerajaan’ menewaskan SMS Muzzaffar Syah (pembangkang). Tajuk dibahaskan ialah "Science has shown more potential to cure than kill".

Juara kedua-dua kategori membawa pulang sebuah piala pusingan, piala iringan dan sijil penghargaan, naib juara pula menerima piala iringan dan sijil penghargaan serta pembahas terbaik dianugerahkan seutas jam tangan.

Bahas Piala Perdana Menteri yang diadakan sejak 1971 terbuka kepada semua SBP. Bagi edisi ke-29, ia disertai 40 pasukan termasuk pasukan jemputan iaitu Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi, Selangor.

Musa meminta agar pelajar tidak gentar menghadapi dunia pendidikan yang penuh dengan persaingan.


Ehsan : Berita Harian

kembali
Carian MySchoolNet

Home
Sebarang komen dan pertanyaan sila email kepada webmaster.
2001- 2002. Kementerian Pendidikan Malaysia. Hakcipta Terpelihara.